Categories: Berita

Benelli lancar motosikal adventure baharu TRK 702 di China

BENELLI TRK 702 DILANCARKAN SECARA RASMI SEBAGAI FLAGSHIP BARU BAGI RANGKAIAN ADVENTURE-TOURER FIRMA ITALI-CINA.

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Benelli telah pun memfailkan tanda dagang TRK 702 sekitar April, mengesahkan ketibaan motosikal ‘adventure’ yang lebih besar sebagai tambahan kepada TRK 502.

Memasuki bulan Ogos, jenama motosikal Itali-Cina itu melancarkan Benelli TRK 702 secara rasmi di China. Seperti TRK 502 yang mencapai status motosikal paling popular di Itali, Benelli berharap TRK 702 juga mampu mencapai status yang sama.

Atas sebab ini, Benelli juga akan memperkenalkan TRK 702 di pasaran Eropah. Model itu hanya akan membawa lencana Benelli dan tidak akan dijenamakan sebagai QJMotor di pasaran lain.

Perbezaan utama antara TRK 702 dan TRK 502 adalah di bahagian enjin, kerana model ADV yang lebih besar dikuasakan oleh platform kembar selari 693cc serba baharu yang dibangunkan oleh Benelli. Enjin itu menghasilkan 75hp pada 8,500rpm dan 68.2Nm pada 6,250rpm.

Related Post

Seperti biasa, motosikal serba baharu itu turut hadir dalam dua varian iaitu TRK 702 (standard) dan TRK 702 X yang menampilkan penggunaan rim jejari dan saiz tayar berbeza.

Versi standard didatangkan dengan rim 17-inci yang dipadankan dengan tayar depan 120/70 dan belakang 160/70 manakala versi ‘X’ dilengkapi tayar 19″ depan dan 17″ belakang selain dilengkapi dengan tayar ‘dua guna’ .

Motosikal itu juga akan menampilkan ABS dwi-saluran, paparan meter LCD digital, cengkaman dan tempat duduk dengan fungsi pemanasan.

Selain itu, Benelli turut melengkapkan TRK 702 dengan kamera HD yang diletakkan di bahagian bawah lampu depan. Kamera bertindak seperti ‘dashcam’ yang bertujuan merakam perjalanan semasa menunggang.

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah