Categories: Konsep & Kustom

Jika Polis Dubai dilengkapi dengan Kawasaki Ninja H2

Kebanyakkan kereta di Dubai terdiri daripada kategori yang premium. Polis Dubai juga tidak ketinggalan. Mereka memiliki beberapa kenderaan istimewa yang selalu digunakan untuk mengejar sesiapa sahaja yang berani mencabar mereka.

Garaj polis Dubai dipenuhi dengan kereta-kereta premium antaranya Nissan GTR, Lamborghini Aventador, Ferrari FF, Aston Martin One-77, dan Bugatti Veyron. Manakala untuk motosikal pula, koleksi mereka tidak begitu mengagumkan.

Cuaca seharian yang panas di Dubai serta kawasan padang pasir di sekitarnya mengekang pihak polis dari menjalankan tugas rondaan harian mereka.

Namun demikian, pada tahun 2017, pihak polis Dubai diberi 24 buah motosikal Kawasaki GTR1400 sport tourer untuk tugasas rondaan mereka terutama apabila cuaca negara tersebut membenarkan.

Walau bagaimanapun, Studio Decal H2Decal mempunyai idea yang lebih menarik, mereka mencadangkan agar unit polis Dubai dilengkapi dengan Hyperbike, dan hasilnya, sangat memberangsangkan!

Related Post

H2Decal sudah pun mengenal pasti bahawa Kawasaki Ninja H2 mampu bersaing dengan kereta premium selaju 300 km/h. Akan tetapi, versi H2 yang digunakan oleh pihak polis Dubai bukanlah versi H2 yang biasa.

Pada bahagian hadapan H2, terdapat penyerap hentak tahap MotoGP dengan forks Öhlins FGR300, Brembo CNC GP4-PR calipers khusus untuk motosikal MotoGP serta cakera brek karbon. Manakala kedua-dua roda H2 pula dihasilkan oleh Rotobox yang diperbuat daripada fiber karbon untuk mengurangkan berat motosikal.

Enjin H2 supercharged yang asal pula diubahsuai secara keseluruhannya. Kini ia mengguna pakai pakej elektronik dari versi H2R litar. Pengubahsuaian ini meningkatkan lagi kuasa motosikal tersebut dari 200 hp hingga ke 300 hp. Untuk mendapat kuasa yang sebegitu tinggi, sistem ekzosnya juga perlu direka khas, sama seperti yang kita dapati di H2R.

Pihak polis Dubai belum lagi mengumumkan penggunaan motosikal khas ini dan ia mungkin hanya imaginasi H2Decal sekiranya polis Dubai memerlukan model tersebut. Tetapi selepas melihat reka bentuk dan spesifikasi Kawasaki Ninja H2 Edisi Polis Dubai, kami pasti mereka mahukannya!

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah