Categories: Berita

SOP ketat dari Dorna jelang ujian pramusim MotoGP di Sepang

SOP KETAT DI SEPANG ADALAH UNTUK MEMBENDUNG PENULARAN VARIAN OMICRON.

MotoGP

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Wabak Covid-19 telah menyaksikan acara MotoGP berlangsung di luar eropah hanya tiga kali ( dua di Qatar, satu di AS) dalam dua musim terakhir. 

Walaupun musim 2021 berjalan lancar, Dorna terpaksa membatalkan enam pusingan kerana faktor peningkatan kes Covid-19.

Dorna turut membatalkan ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang pembukaan musim 2020 berikutan sekatan kuarantin mandatori 14 hari yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

Namun, bagi memastikan ujian pramusim di Sepang berjalan lancar untuk musim 2022, Dorna memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat Covid-19 semasa Sepang Shakedown Test dari 31 Januari hingga 2 Februari diikuti ujian rasmi MotoGP pada 5 hingga 6 Februari 2022.

SOP YANG KETAT ITU JUGA BAGI MEMASTIKAN VARIAN OMICRON YANG SEDANG MELANDA NEGARA KETIKA INI DAPAT DIBENDUNG.

“Setiap pihak terbabit telah menerima e-mel dengan arahan untuk dipatuhi di Sepang.

“Peraturan sangat ketat dan membenarkan ujian pramusim dijalankan dengan risiko rendah,” jelas Pengurus Rider MotoGP Carlo Pernat.

Related Post

Pernat juga memaklumkan penginapan (hotel) juga telah dimaklumkan termasuk pemindahan semua struktur ke litar yang akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengurusan.

“Tiada kemungkinan langsung untuk keluar dari gelembung maya ini,” tambah Pernat.

Pada masa yang sama, semua kakitangan dan pelumba MotoGP akan menginap sama ada di Hotel Sama-Sama atau Hotel Movenpick.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua pasukan akan menjalani PCR dan akan dibawa terus ke hotel untuk kuarantin diri bagi menunggu keputusan ujian yang akan mengambil masa antara 12 hingga 24 jam.

Kakitangan dan pelumba MotoGP hanya dibenarkan bergerak dari hotel ke litar sahaja.

Sementara itu, individu yang ingin pergi ke SIC perlu menunjukkan bukti lengkap vaksin dan keputusan ujian negatif Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Menurut laporan media antarabangsa, protokol sama juga akan dilaksanakan di Litar Mandalika, Indonesia.

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah