Categories: Berita

Litar Antarabangsa Sepang ditutup Mac ini untuk kerja-kerja penurapan

LITAR ANTARABANGSA SEPANG AKAN MENUTUP LITAR BULAN DEPAN UNTUK KERJA-KERJA PENURAPAN PADA TURN 7,8 DAN 9 LITAR.

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjalani peningkatan bermula Mac ini bagi memastikan keselamatan pelumba. Ini amat diperlukan terutama menjelang perlumbaan Kejohanan Dunia MotoGP 2023 di GP Malaysia November ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kerja penurapan itu hanya melibatkan 1km di Turn 7, 8 dan 9 daripada keseluruhan litar sepanjang 5.54km itu.

“Litar ini seperti stadium bola sepak yang memerlukan penyelenggaraan. Kita lihat ada beberapa tempat yang perlu dinaik taraf,” kata Azhan.

Azhan berkata SIC memerlukan bantuan kerajaan bagi memastikan litar itu sentiasa dalam keadaan baik. Ini kerana menurap keseluruhan litar memerlukan perbelanjaan kira-kira RM20 juta.

Related Post

Kerja penambahbaikan itu sepatutnya dimulakan pada 2021 tetapi mengalami kelewatan akibat pandemik Covid-19.

Menurut Azhan, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) telah menyatakan pandangan untuk menaik taraf litar itu sebelum Grand Prix Malaysia tahun ini.

“Sebaik sahaja kami mendapat kelulusan, kami merancang untuk menutup litar pada Mac dan membuka semula pada Mei. Ini bagi memastikan keadaan litar sedia untuk digunakan sepenuhnya,” kata Azhan.

Kali terakhir SIC menaik taraf litar adalah pada 2016 dan tidak melakukan kerja penurapan baharu sejak itu.

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah