Categories: Berita

Kawasaki sedia untuk lancar ZX-4R

KAWASAKI ZX-4R YANG DINANTI-NANTIKAN AKAN DILANCARKAN TIDAK LAMA LAGI DAN IA AKAN MEMPUNYAI PERSAMAAN YANG HAMPIR DENGAN MOTOSIKAL SUKAN ZX-10R YANG LEBIH BESAR.

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Sejak beberapa bulan lalu, khabar angin mengatakan Kawasaki akan memperkenalkan satu lagi motosikal dengan enjin empat silinder. Khabar angin mengenai model ZX-4R telah tular sejak Kawasaki memperkenalkan ZX-25R di pasaran Indonesia dua tahun lalu.

Pengeluar motosikal Jepun itu turut memfailkan tanda dagangan ZX-4R, memberi gambaran bahawa motosikal empat silinder 400cc itu akan menjadi kenyataan.

Dalam perkembangan terkini, media Jepun Young-Machine (YM) telah membuat ‘render’ imej ZX-4R sebagai muka depan majalah mereka untuk keluaran April.

Related Post

Tajuk utama juga mencadangkan Kawasaki sedang bersiap sedia untuk pelancaran global ZX-4R tidak lama lagi. Reka bentuk pada imej yang ‘dirender’ juga menunjukkan ZX-4R akan mengguna rekaan ZX-10R generasi terbaharu terutamanya pada panel hadapan termasuk lampu depan.

Sejujurnya, kami jarang memberi tumpuan kepada imej yang ‘dirender’ kerana kebanyakannya hanya ‘syok’ sendiri tetapi setakat ini imej yang dipaparkan dan dikongsi oleh YM adalah lebih dari 90 peratus tepat, jadi sukar untuk menafikan dakwaan mereka.

Sementara itu, Kawasaki ZX-4R juga dijangka menawarkan pelbagai ciri premium termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC) dan fork USD.

Buat masa ini, tidak jelas berapa banyak kuasa yang boleh dihasilkan oleh enjin itu, tetapi berdasarkan keupayaan ZX-25R untuk menjana 50hp, kemungkinan besar ZX-4R akan menawarkan 75hp dan ke atas.

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah