Categories: Berita

Hafizh Syahrin mendominasi Braaap Track Attack 2021 di Sepang

HAFIZH SYAHRIN MENGEJUT PENONTON DENGAN KEMENANGAN DI BRAAAP TRACK ATTACK 2021.

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Walaupun tidak berlumba atas kapcai selama 11 tahun, bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mudah mempamerkan dominasinya apabila memenangi kategori Elite MP150 Braaap Track Attack 2021.

Berlangsung di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad, Hafizh, yang bertanding untuk pasukan J Performance, langsung tidak kekok walaupun berlumba dengan jentera yang jauh lebih kecil daripada yang ditungganginya selama beberapa tahun di MotoGP.

Walaupun berdepan dengan nama-nama besar dari peringkat Cub Prix, Hafizh mendahului keseluruhan 15 pusingan di litar 1.2km.

Hafizh pada mulanya mendapat saingan sengit daripada rakan sepasukannya, Izzat Zaidi yang mula dari petak pertama, namun dia mengekalkan momentumnya dan terus mencatat kemenangan kedua dalam kategori Braaap Track Attack MP150 selepas memenangi Supermotard 450 pada Sabtu.

Sementara itu, tempat ketiga disandang Syafiq Rasol yang ketinggalan 24 saat di belakang Hafizh dan Izzat.

Related Post

Hafizh turut meluahkan rasa keterujaan dengan peluang yang diberikan kepadanya untuk memanaskan badan sebelum mula Kejohanan Superbike Dunia 2022.

“Saya sangat teruja dan gembira kerana dapat kenangan menunggang kapcai selepas 11 tahun tidak menunggang kapcai.

“Saya sangat merindui zaman berlumba kapcai dahulu. Saya pasti menikmati setiap sesi hari ini. Gembira kerana saya dapat membiasakan diri dengan litar go-kart ini di mana ini ia kali pertama saya berlumba kapcai di sini.”

Semasa perlumbaan Supermotard 450 pada Sabtu, Hafizh mengejutkan penonton apabila muncul juara walaupun berdepan pelumba supermoto negara, Gabit Salleh.

Hafizh memenangi perlumbaan dengan selesa apabila melepasi garisan penamat dengan jarak 33 saat daripada Gabit yang muncul di tempat kedua diikuti Khairul Afif Ghazali ketiga.

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah