Categories: Berita

Honda akan membangun jentera adventure kembar selari NX500?

TANDA DAGANG BARU-BARU INI MENCADANGKAN BAHAWA HONDA MUNGKIN SEDANG BERSEDIA UNTUK MENGEMBANGKAN RANGKAIAN 500 DENGAN MODEL BAHARU.

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Pengeluar motosikal Jepun Honda dilaporkan telah memfailkan nama NX dan NX500 di European Union Intellectual Property Office baru-baru ini.

Nama baharu itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Honda akan memperkenalkan model baharu tidak lama lagi.

Nama kod NX500 membawa kembali nostalgia NX500 dan NX650 Dominator yang diperkenalkan oleh Honda dari tahun 1988 hingga 2003.

Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa NX500 seterusnya merujuk kepada motosikal ‘dual sport’ atau ‘adventure’ seperti NX500 generasi sebelum ini.

Memandangkan permintaan untuk motosikal jenis ini semakin meningkat di seluruh dunia, maka tidak hairanlah NX500 akan menjadi salah satu tawaran baharu Honda untuk pasaran global.

Related Post

Honda CRF1100L, CB500X dan CRF250L Rally serta Transalp 750 (akan datang) adalah bukti fizikal bahawa peminat motosikal ‘dual sport’ dan ADV semakin meningkat setiap tahun kerana ketahanannya yang tinggi serta ciri-ciri praktikal.

Penggunaan nama NX juga lebih relevan untuk menghidupkan semula legasi NX500 dan NX650, lebih-lebih lagi nama Dominator kini menjadi hak milik Norton Motorcycles.

Selain itu, nama NX juga sinonim dengan sejarah Honda di Dakar di mana prototaip Honda NXR750V dan NXR800V berjaya mencatat empat kemenangan berturut-turut dari tahun 1986 hingga 1989.

Namun, berbeza dengan NX500 generasi sebelum yang menggunakan enjin satu silinder, NX500 terbaru ini pastinya dikuasakan oleh enjin kembar selari 471cc sama yang terdapat pada CB500X.

Honda CB500X juga dijangka menjadi asas utama untuk pembangunan NX500 terutamanya kerangka dan swingarm tetapi digabungkan dengan reka bentuk yang lebih agresif dan lasak.

Honda juga telah memfailkan nama NX200 dan NX150 di beberapa negara Asia Tenggara. Ini secara langsung menunjukkan terdapat beberapa varian NX yang akan ditawarkan bersama NX500 tidak lama lagi.

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah