Categories: Berita

Aprilia lancar RSV4 XTrenta dengan hanya 100 Unit tersedia

XTRENTA – TERJEMAHAN SEBAGAI ‘30’ DALAM BAHASA ITALI – TELAH DIREKA UNTUK MENYAMBUT ULANGTAHUN KE-30 TAJUK DUNIA GRAND PRIX PERTAMA APRILIA PADA 1992.

Langgan kepada saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!

Tahun ini menyaksikan Aprilia membuat pencapaian ketara di pentas MotoGP, dengan Aleix Espargaro memenangi GP Argentina dan rakan sepasukannya, Maverick Vinales mencatat podium kedua di GP San Marino, pada Ahad.

Sehubungan itu, Aprilia memperkenalkan RSV4 XTrenta untuk meraikan pencapaian pengeluar motosikal Itali itu. Berdasarkan jentera superbike Aprilia RSV4, jentera RSV4 XTrenta merupakan jentera khas yang dibina untuk litar perlumbaan (trek sahaja).

RSV4 XTrenta ini disuntik dengan ciri sama yang terdapat pada jentera MotoGP Aprilia, RS-GP 22 yang ditunggangi Espargaro dan Vinales.

RSV4 XTrenta dibangunkan dengan proses PAN Compositi yang sama digunakan oleh pasukan MotoGP. Hasilnya, Aprilia RSV4 XTrenta menawarkan pakej aerodinamik dan sayap seperti yang terdapat pada RS-GP.

Related Post

Bukan itu sahaja, malah RSV4 XTrenta turut hadir dengan ciri ‘under-wing’ atau ‘The Spoon’ yang dipasang di bahagian bawah swingarm dan di hadapan tayar belakang. ‘The Spoon’ berfungsi untuk mengawal suhu tayar belakang bagi memastikan cengkaman optimum. Ini adalah kali pertama motosikal ‘pengeluaran’ dilengkapi dengan ciri ini.

Selain itu, Aprilia turut mengemas kini enjin 1,099cc V4 yang kini menghasilkan 230hp. Ekzos titanium yang dibangunkan dengan kolaborator SC-Project turut menyumbang kepada peningkatan kuasa secara mendadak. Penggunaan komponen ringan (terutamanya gentian karbon) turut menyaksikan Aprilia RSV4 XTrenta hanya mempunyai berat 165kg.

Ciri unik lain yang ditawarkan termasuk Magneti Marelli IMU, panel butang Jetprime, suspensi Ohlins dan rim magnesium Marchesini M7R Genesi. Sementara itu, brek dikendalikan oleh angkup monoblok Brembo GP4-MS dipadankan dengan cakera brek T-drive 330mm.

Menurut Aprilia, tempahan untuk RSV4 XTrenta boleh dibuat mulai Selasa (6 September) pada harga EUR50,000 (RM222,400).

Brendan Jeremiah

Berlatarbelakangkan industri grafik, namun masih lagi rookie dalam dunia permotoran. Seorang peminat tegar pada apa sahaja yang melebihi 500hp, walaupun sering menderita saban hari melalui trafik yang maha perlahan di Lebuhraya Persekutuan

Share
Published by
Brendan Jeremiah